Posted by admin | Published on 06 Feb 2009
Usahawan Kecil Digalakan Bergabung
Langkah elak dieksploitasi, pertingkat daya saing
BATU PAHATĀ (6 Febuari 2009): Usahawan kecil digalak bergabung di bawah satu bumbung seperti institusi koperasi, bagi mewujudkan rangkaian kukuh serta memudahkan mereka menangani masalah yang dihadapi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah, Datuk Ariss Samsudin, berkata penggabungan berkenaan adalah antara langkah penting perlu dilakukan usahawan terbabit bagi mengelak dieksploitasi pihak tertentu serta membantu daya saing mereka di pasaran terbuka.
Katanya, antara masalah yang sering dihadapi usahawan kecil adalah menjadi mangsa pemerasan orang tengah serta sukar mendapatkan harga pasaran lebih stabil bagi produk masing-masing.
“Penggabungan, terutama yang dilakukan melalui institusi koperasi dapat menyelesaikan masalah yang sering dialami usahawan Bumiputera seperti berkaitan pemasaran atau mendapatkan harga pasaran lebih baik.
“Malah, melalui penggabungan ini, kita juga yakin ia dapat membuka peluang lebih luas kepada usahawan terbabit mempelbagaikan kegiatan mereka, selain mengelak daripada menjadi mangsa orang tengah,” katanya ketika menutup Kursus Asas Ternak Ikan Keli Siri 001/2009 anjuran Koperasi Usahawan Keli Muar Berhad (Koop-Ukli) di sini baru-baru ini.
Seminar yang disertai lebih 30 usahawan di sekitar daerah Batu Pahat serta beberapa tempat lain itu turut dihadiri Pengerusi Koop-Ukli, Malek Jamil.
Ariss berkata, penggabungan berkenaan juga memberi ruang kepada usahawan terbabit bertukar maklumat serta berkongsi pendapat, terutama cara mempertingkat dan mempelbagaikan kegiatan mereka.
Mengenai seminar itu, Ariss berkata, ia adalah langkah membantu melahirkan lebih ramai usahawan menceburi bidang ternakan ikan keli yang kini dilihat mempunyai potensi untuk berkembang maju.
Beliau berkata, mereka yang berminat menceburi bidang ternakan ikan keli perlu komited dan tidak cepat berputus asa.
Beliau juga berkata, mereka yang menyertai kegiatan ternakan ikan berkenaan melalui Koop-Ukli tidak berdepan masalah pemasaran kerana pengurusan koperasi terbabit sedia membeli hasil ternakan mereka.
“Saya difahamkan, ikan keli kini tidak saja dijadikan pelbagai jenis lauk sebagai hidangan harian, malah turut diguna dan dijadikan bahan penting bagi menghasilkan beberapa produk sampingan lain seperti minyak ikan serta produk kesihatan.
“Saya turut dimaklumkan ikan keli kini ditinkan menjadi seperti ikan sardin tin yang mendapat sambutan menggalakkan di luar negara, termasuk Indonesia,” katanya.

